Monday, May 30, 2011

Senandung Malam, Bagan Lalang


Bart: Bagan Lalang ada banyak kedai makanan laut, atau popular disebut medan ikan bakar. Aku dah sampai hampir ke kesemua gerai - kerana alasan atau dengan makwe - yang berbeza-beza. Medan paling hujung adalah spot paling fancy dengan harga yang hanya sesuai jika gaji kita kebetulan banyak belen pada bulan itu. Makwe yang kita bawa perlu betul-betul ‘worth it’ jika mahu ke sana tapi malam ini aku dengan Nazim Masnawi, jadi tiada logiknya untuk aku ke sana.

Aku pilih gerai yang paling hampir dengan jalan utama dengan ruang parkir yang juga berfungsi sebagai medan anak-anak kecil bermain benda terbang-terbang berlampu yang namanya aku tidak tahu. Tidak perlu meneroka jauh-jauh jika mahu kepuasan makan di Bagan Lalang kerana ikut pengalaman aku, gerai ini memang konsisten menyediakan masakan yang sedap dengan harga yang cukup mesra.

Nazim: Pilih tangkapan laut yang nak dihadam, timbang lalu beritahu nak masak apa; ini adalah tipikal bagi sekalian restoran makanan laut di luar sana, yang lazimnya menghasilkan sajian tidak seenak ekspektasi. Tapi di sini, mutu masakannya selari dengan kesegaran bahan; biarpun pesanan kami tidak semegah mana – seekor kembung dan sepotong pari bakar, beberapa ratus gram sotong digoreng tepung dan pahat masak pedas. Tidak mahu mengulangi kesilapan seperti di Restoran Panorama, sajian kami kali ni cukup santai seperti deruan ombak tatkala gelap malam begini – berisi namun cukup menyenangkan. Nah, minuman pun cuma teh O seteko.

Biarpun premis ini cukup padat pada hujung minggu*, kunjungan kami pada hari kerja begini memudahkan proses layanan. Ketika kami menambah sepiring lagi sotong di separuh jalan, tidak kedengaran keluh-kesah daripada pelayan tentang giliran. Dan mereka pun cukup fasih dengan segala sajian menu dan ketangkasan kudrat. Dalam erti kata lain, inilah kelebihannya mengambil anak tempatan sebagai pelayan. Kebanyakan restoran (Panorama, am looking at you), biarpun gah, mengambil pekerja import tanpa inisiatif untuk mendidik mereka tentang lingua franca. Melayan orang makan sama sahaja seperti bertanyakan petrol baru atau lama.


Bart: Majoriti pengunjung restoran ini malam ialah mereka yang berkeluarga dan setiap meja aku nampak drama atuk dan nenek yang tertawa dengan keletah cucu, abang sulung bermain pedang plastik, si adik berkejaran dengan kucing sementara yang paling kecil duduk di kerusi khas bayi menangis dibuli sang abang. Semua mereka kelihatan bahagia, aku suka suasana begini. Keluarga meja belakang cukup berselera mereka makan. Si ibu mengucapkan terima kasih selepas aku memulangkan pedang plastik anak sulungnya yang tercampak ke kepalaku tatkala budak itu bertarung dengan dua ekor kucing putih sebentar tadi.

Kembali kepada makanan, aku rasa pencicah kicapnya lebih sedap jika limau belah separuh itu tidak diperahkan. Masam limau itu akan ‘overpower’ rasa yang sudah cukup ngam.

Habis berbual-bual setelah selesai menjamu, kami mahu berangkat. Penantian bil kami diselangi dengan teka-teki yang selalunya berakhir dengan anggaran terlebih 10-15 ringgit. Restoran Senandung Malam tidak pernah gagal membuat kami pulang dengan rasa gembira.

Nazim: Gembira? Gembira kalau kau balik ke kampung jumpa mak ayah; gembira kalau kau dapat kahwin percuma. Tapi ini, bak kata orang putih, is just transcendental!

Oh, aku tahu apa yang gembira. Balik kau yang drive.

*Kami pernah mendapat hidangan secara harfiahnya "tahun depan" selepas melakukan pesanan kerana ke sini pada malam Tahun Baru.

1 comment:

  1. The crime of this blog is that it only have three posts and even less comment!

    You guys should do more. Love the Scott Pilgrim's piece.

    ReplyDelete