Sunday, May 29, 2011

Restoran Panorama


Nazim: Setelah tidak jadi ke pilihan restoran yang asal - Moon's Kitchen Pandan Indah yang rupa-rupanya terletak di Kuala Lumpur - kami mendadak melakukan bidan terjun ke Restoran Panorama di Lookout Point Ampang. Meskipun tidak menghidangkan sajian spesifik Barat ala Moon's, terdapat suatu karan lain yang memanggil kami untuk mendaki beratus-ratus anak tangga ke situ:

Panoramanya.

Ya, yang juga merupakan nama restoran ini. Tidak syak lagi, ia adalah tarikan utama mereka (seperti beberapa premis lain di situ). Berlumba orang mendapatkan tempat duduk hujung-hujung bagi meladeni pemandangan terbaik; mungkin juga memantau lokasi bunuh diri kerana terdapat sebilangan pelanggan yang datang melakukan pesanan ala kadar saja. Bagi aku, mereka dalam kerugian kerana makanan di sini, bak kata orang putih, ain't bad at all.

Bart: Terpaksa berpuas hati dengan meja lapisan kedua dari tembok yang memisahkan lantai restoran dan flora serta fauna 300 kaki di bawah gaung, aku memesan Black Pepper Beef Steak bersama Cappuchino Ice Blended; Nazim pesan Grilled Lamb Chop dan Soursop Peach Fruitshake. Kami tak begitu pasti apa yang paling "special" di sana tapi dengan keseluruhan Kuala Lumpur bertindak sebagai lampu "chandelier", aku yakin apa pun yang kami pesan akan jadi menu sesuai di tempat romantik ini. Dua tiga pasangan lelaki perempuan melihat aku dan Nazim seperti kami pasangan bercinta macam mereka. Mereka mengangkat gelas minuman tanda hormat, aku hampir melontar garpu dan pisau stik ke muka mereka.

Mendapat pesanan kami sebelum habis mengira bangunan KLCC itu ada berapa tingkat adalah "surprise" yang sangat menyenangkan. Telahan awal kami, Panorama tidak perlu berusaha sangat menyedapkan makanan mereka kerana pelanggan pasti meletakkan sajian sebagai perkara kedua. Kami nyata silap kerana sajian di situ sebagus pemandangannya juga.


Nazim: Agak menarik kau kata kita tak pasti tentang menu istimewa di sini kerana para pelayannya - rata-ratanya pendatang dari seberang - tidak begitu banyak membantu. Bagaimanapun, di menu sendiri sudah tersergam pelbagai juadah - dari Barat ke Asia Tengah - untuk dipilih. Hidangan yang kami pesan sememangnya enak namun aku tidak pasti sama ada ia sesuai dengan suasana dan keadaan - berlemak lagi berminyak dalam cuaca panas sekarang ini membuatkan tekak lebih cepat kembang (bayangkan, shake dan stik!).

Mujur dari aspek intipati tidak mengecewakan. Salah satu tabiat yang aku perasan setiap kali makan stik di mana-mana adalah kehangatan makanan yang cepat reda. Tidak di sini. Boleh dikatakan hingga ke saat akhir, kuahnya masih mampu melecurkan usus. Hirisan kentangnya pula dibuat sendiri; bukan sekadar dibeli di kedai berdekatan. Fruitshake yang dihadam tidaklah sepekat yang aku damba, namun tidak dinafikan, setiap isi ramuannya cukup dirasai.

Bart: Sebagai peminat sukan lasak, payung kecil di atas Cappuchino Ice Blended buat aku rasa macam gay. Nasib baik ia sedap. Cuma macam kau kata, benda ini tidak berapa "ngam" dengan apa yang aku baru makan. Mungkin jasmine tea lebih sesuai. Makan di tempat berlandskap begini, pengalamannya tidak habis sebaik sahaja garpu dan pisau diletak kembali ke atas meja. Aku kembali menikmati pemandangan KL.

Nazim: Ni apa hal cerita pasal KL ni? Kau nak kena disqualify ke?

No comments:

Post a Comment